Monday, 24 October 2011

Firasat 2 SPM Usaha-usaha menggalakkan pelancongan di Malaysia

Industri pelancongan memang merupakan suatu sektor yang penting bagi sesebuah negara.Hal ini demikian kerana industri ini menyumbangkan hasil dan pulangan yang banyak kepada sesebuah negara dalam aspek pendapatan negara. Daripada perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, jumlah pelancongan ke Malaysia dari Januari hingga Disenber 2010 ialah 24.6 juta orang.Pelancongan Asia Barat menunjukkan peningkatanpada tahun 2006 berbanding tahun 2005.Jumlah pelancong yang melawat ke Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun tersebut meningkat 44 peratus kepada 7.23 juta berbanding 5.02 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya meskipun keadaan ekonomi serantau yang lembap kini. Pada pendapat saya, pelbagai usaha dan aktiviti perlu dijalankan untuk menggalakkan pelancongan di Malaysia.
          Sebagai kesinambungan idea saya, pihak kerajaan dan pihak swasta perlu melakukan pelbagai usaha untuk memperkenalkan Malaysia ke mata dunia. Kerajaan hendaklah menggiatkan promosi untuk merancakkan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh dilaksanakan dengan komitmen yang padu bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun hangat-hangat tahi ayam. Sebagai contohnya, kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di Dubai dan di Arab Saudi. Usaha memperkenalkan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarluaskan maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat yang tepat mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong. Hal ini demikian juga mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati. Natijahnya, industri pelancongan negara kita dapat bersinar dan terserlah ke seluruh dunia dan dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain.
          Selain itu, pihak swasta haruslah berganding bahu dengan pihak kerajaan membuka pusat-pusat percutian yang bertaraf dunia agar industri pelancongan negara kita dapat bersaing dengan negara-negara lain di dunia. Hal ini serupa dengan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Inisiatif ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyak pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong sebagai analoginya, tindakan yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel tersebut. Bagi membuktikan perkara ini, perangkaan yang boleh diketengahkan ialah pertambahan ketibaan pelancong antarabangsa dan pertumbuhan pelancongan domestik yang kukuh telah menyumbang kepada peningkatan kadar penginapan hotel purata daripada 59.2 peratus pada tahun 2000 kepada 63.5 peratus pada tahun 2005. Pendek kata, sekiranya langkah yang konkrit, sistematik dan pragramatik dijalankan secara berterusan sudah tentu kedatangan pelancongan ke Malaysia bagaikan di mana ada gula di situ ada semut.
           Selain itu, seharusnya kita tidak mengetepikan peranan sekolah dan peranan ibu bapa dalam menggalakkan sektor pelancongan di Malaysia. Memang diakui bahawa peranan sekolah dan ibu bapa amat penting dalam pendidikan anak. Ibu bapa yang menjadi guru di rumah haruslah mengasuh anak dengan sikap melentur buluh biarlah dari rebungnya tidak harus kita tepikan kerana api takala kecil menjadi kawan apabila besar menjadi lawan. Hal ini supaya anak mereka tidak terlibat dalam gejala sosial seperti vandalisme yang menjatuhkan imej negara kita semasa pelancong dari luar negara datang ke negara kita. Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah berperanan dalam menggalakkan pelancongan di Malaysia. Oleh itu, subjek yang memperkenalkan Malaysia seperti Geografi dan Sejarah harus banyak di perkenalkan oleh guru Sejarah. Kelab pelancongan boleh ditubuhkan bagi memupuk minat pelajar untuk melancong. Seterusnya, pihak sekolah juga bolah manganjurkan aktiviti seperti lawatan sambil belajar dan pertandingan membuat folio tentang tempat pelancongan untuk mendalami ilmu pengetahuan pelajar tentang tempat tersebut pelancongan tersebut. Selain itu, pihak sekolah juga boleh menampilkan filem tentang adap resam dan keistimewaan berkaitan tempat pelancongan seperti Sabah dan Sarawak. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membawa anak melancong supaya mereka tidak menjadi katak di bawah tempurung. Hal ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara keluarga tetapi juga dapat merehatkan minda sekeluarga. Oleh itu, peranan ibu bapa dan sekolah penting dalam menggalakkan pelancongan di Malaysia.
          Ketika negara dan rakyat sedang rakus dan ghairah memburu kemajuan, kita sebagai masyarakat terlupa menjimatkan pengaliran keluar wang negara. Apabila melancong di negara kita, wang perbelanjaan untuk pelancongan diperolah semula oleh kerajaan melalui cukai yang dikenakan. Sekiranya melancong ke luar negara, segala perbelanjaan diperoleh oleh rakyat dan kerajaan negara asing. Perkara ini akan merugikan diri sendiri serta negara. Di samping itu, melancong dalam negara dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman. Dengan mengunjungi tempat-tempat yang belum pernah dilawati, kita dapat menambahkan pengetahuan dan mengenali secara lebih mendalam dan lebih dekat dengan khazanah warisan bangsa di tanah air kita. Tambahan pula, kita dapat mengetahui keunikan budaya dan tradisi masyarakat serta panorama di negeri-negeri lain di Malaysia. Dengan aktiviti melancong dalam negara, kita akan mengetahui apa yang ada, yang kurang, yang perlu ada di tempat berkenan berbanding dengan tempat sendiri, kemudian menyalurkan idea-idea bernas untuk pembangunan negeri. Kita harus melancong di negara sendiri demi menghayati warisan khzanah bertaraf dunia yang masih belum dilawati.
          Deduksinya, pelbagai usaha dan kempen perlu diteruskan dan dipergiatkan untuk menarik lebih banyak pelancong agar melancong ke negara kita. Rentetan itu, sinergi daripada semua pihak sangat penting bagi memajukan industri pelancongan di negara kita. Pihak kerajaan, pihak swasta, agensi pelancongan dan rakyat negara kita perlu berganding bahu bagi meningkatkan martabat industri pelancongan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu iaitu hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Sekiranya rakyat dan pelbagai pihak tidak bekerjasama, sudah tentulah matlamat untuk memajukan ekonomi negara kita tidak akan tercapai. Oleh itu, kejayaan dalam sektor pelacongan di negara kita dapat direalisasikan sekiranya semua pihak berusaha memajukan industri pelancongan kerana pepatah mengatakan, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Tiada jalan lain.....

Ketahuilah wahai saudaraku,
Sesungguhnya agama Islam ini berdiri di atas ilmu dan hujah yang sahih.
Tiada jalan untuk memahami agama ini melainkan dengan wahyu.
Tiada jalan untuk memahami wahyu, melainkan dengan perkhabaran rasul.
Tiada jalan untuk memahami perkhabaran rasul, melainkan dengan memahami sunnahnya.
Tiada jalan untuk memahami sunnahnya melainkan dengan ilmu.
Tiada jalan untuk mendapatkan ilmu, melainkan dengan belajar, terus belajar dan terus belajar.
Dan tidaklah ada perkataan yang lebih baik lagi kecuali perkataan mereka yang menyeru ke jalan Allah.

Firasat SPM 1

Guru merupakan pihak yang bertanggungjawab membentuk generasi muda yang cemerlang. Jelaskan peranan guru dalam melahirkan pelajar yang cemerlang yang menjadi idaman setiap sekolah.

Guru bolehlah dilabelkan sebagai golongan manusia yang berperanan untuk mendidik generasi masa depan. Antara kerjaya yang sering dikaitkan dengan aspek pendidikan meliputi guru sekolah, pensyarah, dan guru tadika. Media massa ada juga membuat beberapa program yang menyentuh masalah yang dihadapi oleh guru dan cara-cara untuk mengatasi cabaran tersebut dengan panjang lebar. Namun, guru mempunyai peranan yang besar dalam melahirkan satu generasi pelajar yang cemerlang.

Tugas utama guru ialah mereka menjadi orang pertama yang menyalurkan ilmu pengetahuan kepada pelajar di sekolah. Pihak guru telah diberi latihan untuk memastikan mereka berupaya untuk mendidik anak bangsa dengan ilmu yang diperlukan mengikut tahap umur dan peperiksaan yang dihadapi itu. Setiap guru hendaklah meneroka teknik pembelajaran yang bersesuaian dengan pelajar mereka untuk memastikan semuanya memahami ilmu yang diberikan itu. Sesungguhnya, peranan guru adalah untuk mendidik anak bangsa tanpa mengenal erti penat dan pilih kasih.

Malah, golongan pendidikan ini juga berperanan untuk memberikan kasih sayang kepada pelajar mereka. Kebanyakan pelajar yang mengalami masalah disebabkan oleh diri mereka kekurangan kasih sayang terutama daripada ibu bapa mereka yang sibuk bekerja itu. Guru yang bijak ialah mereka yang boleh memberikan kasih sayang ini kepada pelajar mereka lalu golongan muda ini berasa diri mereka dihargai dan tidak terbabit dalam gejala negatif pula. Jelaslah, kasih sayang yang diluahkan oleh pihak guru ini boleh menghalang pelajar kita daripada terbabit dalam kgiatan yang tidak sihat pula.

Selain itu, pelajar sering melihat guru mereka sebagai contoh teladan yang positif. Guru yang dilihat sebagai baik, berkelakuan sopan dan berjaya dalam pelajaran akan dijadikan idola oleh seseorang pelajar itu. Pada mata pelajar, guru seperti ini berupaya untuk memberikan mereka semangat untuk berjaya dalam hidup lalu menjadi seorang insan yang berguna di dunia ini sama seperti guru mereka itu. Bayangkan jika semua pelajar kita menggunakan guru mereka sebagai sumber inspirasi untuk meneruskan kehidupan di dunia ini?

Akhirnya sekali, guru juga berperanan sebagai golongan yang memberikan nasihat berguna kepada pelajar. Sebagai lapisan masyarakat yang sudah lama mengharungi kehidupan, guru boleh memberikan maklumat tentang erti kehidupan yang penuh cabaran ini. Semua nasihat yang diberikan itu pasti berguna buat pelajar yang sedang bergelora menongkah arus kehidupan yang penuh cabaran terutama tekanan peperiksaan yang meruncing itu. Lantaran itu, tugas memberi nasihat ini menjadikan guru golongan terpenting dalam kehidupan masyarakat pelajar kita.

Kesimpulannya, semua peranan guru tadi sudah diketahui umum tetapi masih banyak yang perlu dilakukan oleh pihak pendidik kita itu. Mereka hendaklah bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk memahirkan diri dengan pelbagai teknik pembelajaran terbaru supaya pelajaran mereka lebih senang difahami oleh pelajar. Pada masa yang sama, pelajar hendaklah memberikan kerjasama yang baik kepada guru ketika mereka berada di kawasan sekolah pula. Bak kata orang tua-tua "usaha tangga kejayaan" memberikan kita satu peringatan bahawa kejayaan dalam sebarang bidang memerlukan usaha yang gigih untuk mendapatkannya

Sekelumit ilmu kehidupan ....

AlQuran, kitabullah menjadikan kita dalam lingkungan anak muslim berdarah melayu celik mata fikir dan celik mata hatinya. Insya Allah "Sehari sekelumit ilmu" akan sentiasa merungkai apa yang TERSURAT dan apa pula yang TERSIRAT atas setiap sesuatu.....merangkumi pelbagai perincian ilmu
Penulis juga berharap perkongsian ilmu dapat digapai dengan pembaca. Oleh hal yang demikian, ADAT BERSENDI SYARIAT, SYARIAT BERSENDI SYARAK, SYARAK BERSENDI KITABULLAH perlu dihayati jika kita ingin berbicara...